Program Khas JPA-MARA 2024 | Asia Pacific University (APU)

You are here

Program Khas JPA-MARA 2024



Permohonan dalam talian untuk Program Khas JPA-MARA Tahun 2024 dibuka di http://www.mara.gov.my mulai 27 Mei 2024  (Isnin), 2.00 petang hingga 9 Jun 2024 (Ahad), 5.00 petang.

Program ini merupakan kerjasama antara JPA dan MARA. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi  03-88853297 atau e-mel  lepasanspm2024@jpa.gov.my

Program Khas JPA-MARA (PKJM) Tahun 2024 merupakan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pelajar Bumiputera cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 untuk mengikuti pengajian peringkat Persediaan dan Ijazah Pertama di dalam negara dan luar negara iaitu di negara Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat, India dan New Zealand dalam bidang-bidang berkaitan.

Penajaan program ini adalah dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) dan tertakluk kepada terma ikatan perjanjian JPA seperti berikut:

I. Pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian.

II. Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian.

III. Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian.

IV. Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

Program PKJM Yang Ditawarkan Di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU)

  • Perkomputeran & Teknologi

Peringkat Pengajian Dan Institusi Pengajian

a) Pelajar akan ditaja untuk pengajian peringkat Program Persediaan dan Ijazah Pertama.

b) Pelajar-pelajar yang ditawarkan penajaan luar negara di bawah program ini akan mengikuti pengajian Persediaan di kolej persediaan yang dikenal pasti. Manakala, pelajar yang ditawarkan penajaan dalam negara di bawah program ini akan mengikuti pengajian Persediaan dan Ijazah Pertama di institusi pengajian yang sama.

c) Kursus-kursus yang diikuti di peringkat Ijazah Pertama hendaklah mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan mendapat pengiktirafan penuh Badan-badan Profesional bagi kursus-kursus profesional.

Syarat Permohonan

a) Pemohon DAN salah seorang ibu ATAU bapa berketurunan Melayu / Bumiputera dan warganegara Malaysia;

b) Pemohon disyaratkan bebas daripada penyakit kronik / berjangkit / penyakit yang memerlukan rawatan susulan dan berupaya mengikuti pengajian sehingga tamat, serta disahkan sihat untuk meneruskan pengajian;

c) Ibu dan / atau bapa tidak disenaraihitamkan oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA;

d) Tidak menerima bantuan kewangan / tajaan dari mana-mana agensi untuk pengajian atau peringkat yang sama;

e) Menduduki peperiksaan SPM 2023 buat kali pertama di mana-mana sekolah menengah atau calon-calon persendirian; 

f) Umur belum mencapai 19 tahun, atau belum mencapai 20 tahun bagi pelajar peralihan pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki.

Permohonan

  • Permohonan dibuka secara dalam talian (online) di http://www.mara.gov.my mulai 27 Mei 2024 (Isnin), 2.00 petang hingga 9 Jun 2024 (Ahad), 5.00 petang. Permohonan yang diterima selepas Tarikh tersebut tidak akan diproses.
  • Calon diwajibkan mengambil dan melengkapkan Ujian Khas Penajaan Persekutuan (UKPP) dan Indeks Bimbingan Kerjaya (IBK) yang akan dibuka mulai 27 Mei 2024 (Isnin), 2.00 petang hingga 9 Jun 2024 (Ahad), 5.00 petang melalui Sistem ePermohonan. Calon yang tidak menduduki ujian ini adalah dikira gagal dan tidak layak ditawarkan penajaan.
  • Calon hendaklah memastikan proses permohonan telah sempurna dengan mencetak Slip Pengesahan UKPP & IBK dan Slip Pengesahan Permohonan Program Khas JPA-MARA Tahun 2024 sebagai bukti permohonan telah dibuat.

Student Assessment Centre (SAC)

Calon yang memohon akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri SAC. SAC diadakan bertujuan bagi menyediakan profil interpersonal pelajar, menyediakan maklumat kumulatif berkenaan kompetensi pelajar bagi memilih pelajar terbaik untuk ditaja JPA. Program SAC dijadualkan berlangsung mulai 24 hingga 28 Jun 2024 mengikut zon pusat temu duga.
 

Tarikh-tarikh Penting

Aktiviti

Tarikh / Hari / Masa

Permohonan dibuka

27 Mei 2024 (Isnin) | 2.00 petang

Permohonan ditutup

9 Jun 2024 (Ahad) | 5.00 petang

Pengisian UKPP dan IBK

27 Mei 2024 (Isnin) | 2.00 petang
-
9 Jun 2024 (Ahad) | 5.00 petang

Semakan Panggilan SAC

19 Jun 2024 (Rabu) | 9.00 pagi
-
21 Jun 2024 (Jumaat) | 4.00 petang

Tempoh SAC

24 Jun 2024 (Isnin) 28 Jun 2024 (Jumaat)

Jangkaan Keputusan

25 Julai 2024 (Khamis) | 12.00 tengah hari

Download

Contact

Maklumat lanjut sila hubungi 03-89961000 / mara@apu.edu.my